LANGKAWI – Polis menemui beberapa kesan dipercayai titisan darah pada alas tilam ketika melakukan pemeriksaan di rumah pasangan suami isteri yang disyaki membunuh kanak-kanak, Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, di kuarters kakitangan Hospital Langkawi (HL) di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, penemuan itu hasil pemeriksaan anggota forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) di kediaman tersebut kira-kira pukul 3.30 petang tadi.
“Alas tilam yang dipercayai menjadi tempat mangsa tidur ini dirampas untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi proses analisa,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya tidak menolak berlaku unsur penderaan terhadap kanak-kanak terbabit berdasarkan soal siasat yang dilakukan terhadap suspek wanita selain keterangan jiran mendakwa sering mendengar tangisan dari kediaman tersebut.
Mohd. Iqbal pada masa sama memberitahu, pihaknya akan meneruskan pencarian anggota badan lain mangsa di lokasi mayat dibuang iaitu kawasan gaung di Gunung Raya pada pagi esok.
“Kita akan meluaskan lagi radius pencarian di kawasan gaung tersebut termasuk menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9),” ujarnya.
Tambahnya, ibu kandung mangsa juga akan diminta memberikan sampel darah bagi melakukan ujian padanan asid deosiribonukleik (DNA) di Hospital Langkawi esok.-K! ONLINE











