KOTA BHARU 6 Mac – Sebuah syarikat menjual kenderaan berputih mata apabila empat penjenayah bertopeng bertindak melarikan empat pacuan empat roda jenis Mitshubishi Triton dari ruang pamer syarikat itu di Wakaf Che Yeh, di sini pagi tadi.
Ketika kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, pengawal keselamatan, Sukri Hussin, 65, berkata, dia bertugas seorang diri sebelum didatangi empat suspek.
Katanya, dia berada di dalam bilik rehat sebelum menyedari empat lelaki bertopeng menceroboh masuk ke premis berkenaan.
“Mereka datang ke bilik rehat ini, sebelum salah seorang daripada empat lelaki itu mengacukan pisau dan mengikat kaki dan tangan serta menutup muka saya dengan kain.
“Selepas hampir sejam, saya berjaya membuka ikatan dan penutup muka. Saya merangkak keluar dari kedai menerusi pintu belakang dan terus melarikan diri ke stesen minyak berhampiran untuk meminta bantuan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, empat suspek tersebut memecah masuk ke premis itu melalui bahagian belakang bangunan.
“Suspek kemudian mengikat pengawal keselamatan dan melarikan empat pacuan roda berwarna hitam, putih dan kelabu di dalam premis terbabit.
“Setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Tambahnya, pihak sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











