PETALING JAYA – Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh akan ditutup Sabtu dan Ahad ini bagi kerja-kerja penyenggaraan landasan.
Ketua Pegawai Operasi MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) Rapid Rail Sdn. Bhd., Azmi Mohd. Zain berkata, penutupan itu adalah memberi laluan kepada penyambungan kerja-kerja pemindahan sebahagian daripada MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang menjadi sebahagian laluan SSP.
Azmi berkata, perkhidmatan bas perantara percuma akan beroperasi di antara Stesen Kwasa Sentral dan Stesen Sungai Buloh sepanjang tempoh itu dengan kekerapan tujuh hingga 15 minit.
“Perkhidmatan bas perantara biasa dari Stesen Kwasa Sentral, Kampung Selamat dan Sungai Buloh akan terus beroperasi seperti biasa semasa penutupan stesen,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Azmi berkata, ketika kerja-kerja penyenggaraan Laluan SSP pada November tahun lepas, masalah teknikal telah dikenalpasti.
“Kami mendapati berlakunya masalah teknikal dan logistik, namun kami percaya masalah berkenaan akan dapat ditangani dalam masa terdekat,” katanya. – Bernama











