PUTRAJAYA 6 Mac – Jumlah langganan jalur lebar talian tetap dengan kelajuan lebih 100Mbps telah meningkat dengan mendadak dari 150,000 pada 2017 kepada 1.2 juta pada tahun lalu.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak memberitahu, punca utama lonjakan itu adalah pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) yang telah menyebabkan harga rangkaian menurun.
“Ini membolehkan pembekal perkhidmatan internet dalam industri menurunkan harga jualan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dan pada masa yang sama meningkatkan kelajuan hubungan (connectivity).
“Teknologi rangkaian fiber optik yang menjanjikan kelajuan lebih tinggi, kependaman rendah dan perkhidmatan yang lebih berkualiti akan menjadi teknologi yang paling pesat membangun dengan purata peningkatan tahunan sebanyak 11.9 peratus dalam jangkaan tempoh 2019-2025,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











