KUALA LANGAT – Ternak lipas dan saluran longkang bertakung antara faktor tiga buah restoran di sekitar Bandar Saujana Putra di sini diarahkan tutup 14 hari dalam operasi bersepadu baru-baru ini.
Dalam operasi dijalankan 28 Februari itu, sebanyak 14 buah restoran telah diperiksa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bertujuan memastikan peniaga-peniaga di daerah ini mematuhi syarat ditetapkan.
Timbalan Yang Dipertua MDKL, Mohd. Yasin Alwi berkata, semasa pemeriksaan dilakukan didapati lipas-lipas tersebut berkeliaran terutama di bahagian dapur yang boleh mengakibatkan keracunan makanan.
Katanya, pemilik restoran juga didapati dengan sengaja membuang bahan buangan makanan dan cecair sehingga menggangu aliran saluran air longkang selain tempat penyimpanan bahan mentah adalah kotor.
“Ketiga-tiga premis ini disita mengikut Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 dan 1 di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Objektif pemeriksaan ini bagi memastikan tahap kebersihan premis makanan mengelakkan penyakit bawaan serangga serta pemberian penarafan dan pengiktirafan premis itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, MDKL turut menyita sebanyak 94 kerusi, 24 buah meja dan satu khemah kecil kerana tiada permit.
Mohd. Yasin menambah secara keseluruhan menerusi operasi selama enam jam bermula pukul 6 petang itu, MDKL mengeluarkan 12 buah notis melibatkan Undang-Undang Kecil, Undang-Undang Kecil Penjaja, Seksyen 46 (1)(a) dan Seksyen 46 (1)(d) Akta 133.
Selain itu, beliau menegaskan sebanyak 23 notis dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Dan Hal Ehwal Pengguna negeri Selangor mengeluarkan sebanyak 1 kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipercatuan Peraturan 3 (1) Penandaan Harga oleh Peniaga Runcit (PHOPR) 1993.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Yasin menjelaskan seorang pendatang asing tanpa izin ditahan pihak Imigresen dalam operasi sama selepas didapati bekerja di premis makanan itu. – K! ONLINE











