KUALA SELANGOR 6 Mac – Keadaan laut bergelora serta angin kencang membuatkan segelintir nelayan mencari alternatif lain untuk menambah pendapatan bagi menyara keluarga mereka.
Tanpa mengeluh dengan nasib kehidupan dilalui, dua nelayan tempatan, Abdullah Mahmud bersama rakannya Samsudin Hussein mencipta sebuat alat iaitu bubu moden.
Menurut Abdullah, bubu ikan sebelum ini diperbuat daripada rotan dan kaedah tradisional itu masih lagi digunakan sehingga kini.
Katanya, bagaimanapun dia bersama Samsudin cuba mencipta kelainan apabila menghasilkan bubu moden yang diperbuat daripada dawai besi.
Tambahnya, pengalaman membuat bubu selama tujuh tahun itu membolehkan dia bersama rakan menyiapkan peralatan tersebut lalu ditempatkan di kawasan persisir pantai yang strategik.
“Kaedah bubu moden ini berkesan untuk jenis ikan jenahak ataupun siakap kerana permintaannya tinggi.
“Lagipun sebanyak 20 hingga 30 ekor ikan dapat ditangkap dalam satu-satu masa selain menjimatkan waktu di kawasan perairan pantai,” katanya ketika ditemui Utusan Online di Jeti Nelayan Sungai Semilang di sini baru- baru ini.
Jelas Abdulllah, mereka hanya memerlukan kos antara RM280 hingga RM300 dengan membeli kelengkapan tersebut di kedai perkakasan.
“Bubu yang dihasilkan pula bergantung kepada saiz yang digunakan.
“Apabila siap nelayan boleh meletakkan peralatan itu di pesisir pantai dengan kawasan kedalaman antara 10 hingga 15 meter selama dua hari,” ujarnya.
Menurutnya, jika ada tempahan daripada pelanggan bubu tersebut akan dijual antara RM350 hingga RM400 seunit. -UTUSAN ONLINE











