Pengasas ASTANA, Ravi Shanker meninggal dunia - Utusan Malaysia

Pengasas ASTANA, Ravi Shanker meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Mac – Pengarah dan Pengasas Persatuan Seni Persembahan Malaysia (ASTANA), R. Ravi Shanker meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, malam tadi akibat jangkitan kuman dalam darah.

Memuatkan artikel berkaitan…
Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.25 malam selepas 35 hari menerima rawatan di hospital tersebut.
 
Ravi Shanker, 42, sebelum ini pernah dimasukkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira dua minggu selepas mengalami deman berpanjangan.
 
Bagaimanapun beliau dibenarkan keluar sebelum mengalami masalah kesihatan semula sebulan yang lalu.
 
Mendiang yang juga Setiausaha Gabungan Persatuan-persatuan Seni India Malaysia itu menjadi kritikal kira-kira 11 hari yang lalu dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia malam tadi.
 
Mayat mediang diletakkan di studio Asthana Arts, Jalan Brickfields, di sini berhampiran restoran Legends sehingga pukul 3 petang ini untuk diberi penghormatan terakhir dan kemudian akan dibawa ke Krematorium, Jalan Kuari, Cheras di sini untuk dibakar.
 
Mendiang terkenal dengan pementasan drama yang mengandungi mesej sosial dan berbentuk pengajaran.
 
Antara hasil produk beliau adalah drama Pareswara, Kannagi, Naduvan dan Dasamahavidya.
 
Adik perempuan mendiang, M. Pavitra ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini
memberitahu, mendiang ada menyatakan keyakinan yang dia akan sembuh sepenuhnya sebelum keadaannya menjadi kritikal minggu lalu.
 
“Abang juga minta saya membawanya ke kuil selepas dia sembuh,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini