Malaysia gesa EC teliti draf peraturan menyeluruh - Utusan Malaysia

Malaysia gesa EC teliti draf peraturan menyeluruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Mac – Malaysia hari ini menggesa Suruhanjaya Eropah (EC) untuk meneliti draf peraturan yang ditetapkan oleh Arahan Tenaga Boleh Baharu Kesatuan Eropah (EU RED II) dengan lebih menyeluruh, seimbang dan tidak berat sebelah.

Draf itu didapati kurang telus, kredibiliti saintifik dan banyak andaian di dalamnya gagal mencerminkan amalan lestari yang sebenar dalam industri.

“Ia juga berat sebelah terhadap biobahan api sawit berbanding biobahan api berasaskan tanaman lain.

“Oleh itu, kami membuat kesimpulan minyak sawit telah dilabelkan secara tidak adil sebagai risiko ILUC yang tinggi dalam kalangan lapan stok suapan yang disebut dalam draf peraturan itu,” menurut Kementerian Industri Utama dalam kenyataan selepas mesyuarat pihak berkepentingan hari ini mengenai biobahan api risiko Perubahan Penggunaan Tanah Secara Tidak Langsung (ILUC) tinggi dan rendah di bawah EU RED II yang diadakan di Brussel, Belgium.

Delegasi Malaysia terdiri daripada Duta Besar Malaysia ke Belgium, Datuk Hasnudin Hamzah dan pegawai kementerian peringkat tinggi, wakil daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Datuk Dr. Tan Yew Chong.

Kementerian itu berkata penyertaan dalam mesyuarat itu penting untuk memberi maklumat yang jelas, tepat dan berasaskan saintifik kepada pihak berkepentingan.

Malaysia menegaskan mengklasifikasikan semua minyak sawit yang dihasilkan sebagai stok suapan biobahan api risiko ILUC yang tinggi tidak dapat diterima berikutan dapatan tersebut diperoleh daripada tafsiran yang salah dan berat sebelah daripada EC.

“Ini akan memberi kesan buruk kepada negara pengeluar minyak sawit yang bergantung kepada industri ini untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat mereka dan membantu negara ini mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut menekankan amat penting bagi EU untuk memberi perhatian khusus kepada usaha berterusan Malaysia untuk menjadikan seluruh rantaian bekalan minyak sawitnya lestari menjelang 1 Jan, 2020 melalui Skim Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan menerima MSPO sebagai antara skim sukarela di bawah EU RED II.

Malaysia sekali lagi menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan pakar-pakar EU untuk membantu menangani sebarang kebimbangan mengenai draf tersebut yang bertujuan mengklasifikasikan semua minyak sawit yang dihasilkan sebagai risiko ILUC yang tinggi. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN