JOHOR BAHRU 5 Mac – Bekas wartawan Utusan Malaysia, Maznah Mohd. Arsad, 59, memenangi kategori Anugerah Berita Ekonomi Terbaik, Anugerah Media Johor 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini malam ini.
Maznah memenangi kategori tersebut menerusi berita bertajuk Ternak Kelulut Tambah Pendapatan.
Memulakan kerjaya dengan Utusan Malaysia pada tahun 1984, Maznah menzahirkan ucapan terima kasih beliau kepada syarikat ini sepanjang 34 tahun menabur khidmat bersama akhbar ini.
“Terlalu banyak pengalaman yang saya peroleh selama saya bergelar wartawan dengan akhbar ini, setinggi-tinggi penghargaan untuk Utusan Malaysia kerana memberikan pelbagai peluang kepada saya,” katanya.
Maznah meninggalkan Utusan Malaysia sejak Disember tahun lalu selepas mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dalam ucapannya berkata, sebagai kumpulan masyarakat yang dihormati, wartawan perlu menjaga martabat mereka supaya tidak tercemar dengan gejala yang merendahkan integriti kewartawanan.
Beliau percaya wartawan yang matang dan berperibadi, tidak akan terburu-buru menukilkan pandangan mereka, melainkan setelah ditimbang dan diteliti dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Ingatlah, wartawan adalah pihak yang penting dalam menggerak pembentukan pemikiran bangsa dan negara.
“Saya sedar, penulisan di media arus perdana, tentunya amat berbeza dengan penulisan di media sosial, yang selalunya dilakukan di dalam keadaan tidak terkawal dan lebih kepada mengikut emosi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










