SHAH ALAM – Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) menafikan akan berlaku gangguan air di sekitar Lembah Klang bermula esok.
Ketua Jabatan Perhubungan dan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, ini susulan penyebaran mesej di aplikasi WhatsApp dan media sosial lain berhubung gangguan air itu.
Katanya, menerusi mesej itu dilaporkan gangguan itu meliputi di beberapa kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Hulu Langat.
“Mesej itu adalah tidak benar dan disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Air Selangor tidak mengeluarkan sebarang notis berhubung gangguan tersebut dan maklumat disebarkan adalah merujuk kepada gangguan bekalan air berjadual pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Justeru, Abdul Raof berharap orang ramai tidak menyebarkan lagi mesej tidak sahih itu bagi mengelakkan kekeliruan.
Jelas beliau, orang ramai dinasihati merujuk aplikasi telefon bimbit iaitu Air Selangor di Google Play atau melayari laman sesawang www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat sahih berhubung info gangguan bekalan air. – K! ONLINE










