ROMPIN 5 MAC – SYARIKAT Alam Flora Sdn. Bhd. (AFSB) kini dilantik sebagai syarikat konsesi untuk menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di Pulau Tioman, di sini mulai awal bulan ini.
Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Datuk Khairur Rizal Ramli berkata, persetujuan itu dicapai melalui komitmen Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara menerusi agensinya, SWCorp.
Beliau berkata, Pahang adalah antara tujuh negeri yang telah menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
“Di negeri ini, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menyerahkan kawasan di bawah kawalan masing-masing kepada AFSB untuk diuruskan.
“Sejak 26 tahun lalu, Pulau Tioman diuruskan sendiri oleh Majlis Daerah Rompin (sebelum Jun 2002) dan oleh TDA selepas Jun 2002 susulan keputusan kerajaan negeri memberi kuasa kepada TDA bertindak sebagai PBT bagi pulau berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Khairur Rizal, antara skop kerja AFSB di bawah pengambil alihan itu meliputi kutipan sisa domestik, sisa pukal dan kebun, pembersihan longkang dan pemotongan rumput serta pembersihan jalan.
Katanya, jentera dan peralatan seperti lori kompaktor serta mesin rumput yang digunakan kebanyakannya adalah dari jenis mesra alam sekitar.
“Sebanyak 1,074 tong sampah pelbagai saiz diagihkan ke seluruh Pulau Tioman yang membabitkan sembilan kampung di bawah pengurusan manakala lima di bawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK),” katanya.










