LONDON 5 Mac – Alexis Sanchez terpaksa berehat selama dua bulan selepas doktor pasukan Chile, Pedro Onate mengesahkan kecederaan lutut yang dialami penyerang Manchester United itu.
Sanchez dikeluarkan pada minit ke-52 semasa United menang 3-2 ke atas Southampton di Old Trafford selepas bertembung dengan Jan Bednarek.
Onate yang menjalankan ujian terhadap situasi kecederaan Sanchez mengesahkan pemain itu mengalami kecederaan medial ligamen dan memerlukan beberapa minggu untuk sembuh.
“Tiada masalah untuk dia beraksi di Copa (America) kerana dia akan diketepikan antara enam ke lapan minggu.
“Alexis mungkin akan pulih lebih awal dan perjalanan masih panjang untuk ke saingan Copa America.
“Kecederaan ini memang sangat menyakitkan tetapi bukan sesuatu yang kompleks,” kata Onate.
United akan berkunjung ke Parc des Princes untuk berdepan Paris Saint-Germain (PSG) bagi aksi timbal balas peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dengan harapan untuk bangkit daripada kekecewaan 0-2 pada saingan pertama.
Bagi musim 2018-19, Sanchez hanya meledak satu gol daripada lapan penampilan dalam saingan liga.-AGENSI











