KUALA LUMPUR 2 Mac – Polis menahan lapan lelaki warga tempatan dalam serbuan di sebuah premis perniagaan yang dijadikan pusat aktiviti perjudian online di Ara Damansara, Petaling Jaya, dekat sini awal pagi tadi.
Kesemua suspek berusia antara 20 dan 41 tahun itu ditahan dalam serbuan Op Dadu pada pukul 1 pagi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman.
Ketua Penolong Pengarah Stagg Bukit Aman, Datuk Nadzri Hussain yang mengetuai serbuan tersebut berkata, sindiket judi online itu menerima pertaruhan pelbagai jenis judi berjumlah RM250,000 hingga RM300,000 sehari daripada pemain dan segala transaksi dibuat menggunakan aplikasi Telegram.
Menurutnya, sindiket beroperasi di tingkat tiga pusat perniagaan komersial tersebut sejak dua tahun lalu dan bertindak licik menggunakan sistem kawalan sekuriti pejabat dan pintu besi bermagnet bagi menyukarkan diserbu pihak berkuasa.
“Selain tangkapan, kita juga merampas wang tunai berjumlah RM8,210, kad bank (105), telefon bimbit (23), kertas catitan perniagaan (22), buku cek pelbagai bank (8), komputer (3) dan modem (2).
“Hasil maklumat siasatan, seorang lelaki cina bernama Nick merupakan penyelia premis judi tersebut. Premis ini juga beroperasi selama 24 jam oleh 16 pekerja yang dibahagikan kepada lapan pekerja setiap syif 12 jam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Ujar Nadzri, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE











