KUALA LUMPUR 2 Mac – Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi pengantara bagi menyelesaikan pergolakan antara India dan Pakistan, kerana rapat dengan pemimpin kedua-dua negara tersebut.
Katanya, dalam keadaan ekonomi dunia yang merudum, tiada yang lebih mudarat sekiranya peperangan tercetus pada masa ini yang akan menyebabkan semua mengalami kerugian.
Jelasnya, hubungan India dan Pakistan yang bergolak perlu diberi perhatian oleh dunia terutamanya rantau Asia Tenggara, dan mendesak rundingan diadakan dengan Malaysia mengambil inisiatif menggerakkan perundingan tersebut.
“Kedua-dua pihak menghormati kedudukan Malaysia, khasnya Dr. Mahathir. Perdana Menteri India, Narendra Modi antara yang terawal membuat kunjungan hormat kepada Dr. Mahathir sejurus beliau dilantik menjadi Perdana Menteri pada Mei 2018.
“Kemesraan yang ditunjukkan ketika Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan yang membuat kunjungan hormat pada November 2018 menunjukkan Dr. Mahathir amat dihormati.
“Oleh itu, Dr. Mahathir adalah pengantara terbaik untuk mengajak kedua-dua pihak untuk berunding mencapai persefahaman untuk mengelakkan perang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ketegangan antara India dan Pakistan di wilayah Kashmir kian memuncak apabila kedua-dua pihak menembak jatuh jet tempur satu sama lain sehinggakan seorang juruterbang India ditawan oleh pihak Pakistan.
Walaupun juruterbang itu dibebaskan, kedua-dua pihak dilihat tidak menunjukkan tanda-tanda mahu meredakan ketegangan yang terjadi. – UTUSAN ONLINE











