Suamiku rupanya penagih dadah  - Utusan Malaysia

Suamiku rupanya penagih dadah 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Luluh hati seorang isteri apabila mendapati suami tercinta yang baharu dinikahi empat bulan lalu rupanya seorang penagih dadah.

Rahsia itu terbongkar selepas suspek berusia 25 tahun itu positif syabu ketika mahu mengambil isteri dan bapa mertuanya masing-masing berusia 19 dan 50 tahun di pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pukul 10 malam pada Rabu lalu.

Menurut sumber, kejadian bermula apabila sepasukan anggota dan pegawai AADK menyerbu sebuah rumah kedai di sebuah flat di Taman Sri Andalas menerusi Ops Aduan dan Cegah pukul 8 malam hari tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, semasa serbuan didapati terdapat tiga beranak mendiami rumah itu termasuk isteri suspek.

“Bagaimanapun, isteri dan bapa mertua suspek ditahan selepas gagal bekerjasama melakukan ujian air saringan dengan alasan baharu sahaja selesai mandi dan membuang air kecil.

“Manakala seorang lagi, ibu mertua suspek dilepaskan pihak AADK selepas didapati negatif dadah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Sumber memberitahu, AADK yang kemudiannya melakukan ujian saringan terhadap dua beranak itu di pejabat mereka mendapati turut negatif dadah.

Tambah sumber itu, sejurus itu isteri suspek yang merupakan suri rumah berkenaan kemudiannya segera menghubungi suaminya bagi mengambil mereka.

“Suspek yang merupakan pemandu van kilang itu kemudiannya tiba pukul 10 malam dalam keadaan mencurigakan sebelum turut diminta melakukan ujian saringan.

“Namun, keputusan ujian saringan suaminya itu mengejutkan remaja perempuan berkenaan apabila didapati positif syabu,” katanya.

Jelas sumber, keadaan itu membuatkan isteri suspek meraung menangis susulan langsung tidak menyangka perbuatan lelaki berkenaan yang baharu dikahwininya empat bulan lalu.

“Hasil soal-siasat, lelaki itu mengaku terjebak dalam penagihan dadah sejak setahun lalu berikutan pengaruh rakan di tempat kerjanya,” katanya.

Dalam pada itu, sumber sama turut memaklumkan seramai 12 lelaki lain berusia 22 hingga 48 tahun ditahan kerana positif dadah dalam operasi  yang sama di sekitar daerah ini. 

Kata sumber, mereka didapati positif dadah jenis syabu, hydrocannabinol (THC) dan opiate menerusi operasi selama 12 jam bermula pukul 11 pagi.

Sementara itu, Ketua AADK Daerah Klang, Baharuddin Ahmad mengesahkan perkara tersebut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini