KUALA LUMPUR – Sebuah lori tiga tan terbalik setelah gagal mengelak set generator yang sedang digunakan dalam satu kejadian di Jalan Bangsar berdekatan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, di sini pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian sekitar pukul 7 pagi itu, pemandu lori berkenaan yang berusia 40 tahun sedang dalam perjalanan menghala ke Brickfields.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu lori tersebut yang berada di lorong paling kiri telah gagal mengelak satu unit set generator yang berada di laluannya.
“Set generator berkenaan diletakkan di laluan paling kiri jalan tiga lorong sehala itu berikutan kerja-kerja pembaikan jalan yang sedang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zulkefly, lori tersebut yang cuba mengelak ke bahagian kanan jalan bagaimanapun gagal dan melanggar set generator berkenaan sebelum hilang kawalan lalu terbalik.
“Tiada kecederaan serius yang dilaporkan dan pemandu lori berkenaan telah mendapatkan rawatan di klinik berdekatan.
“Siasatan awal mendapati pemandu lori tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda penggunaan alkohol atau berada di bawah pengaruh dadah,” jelas beliau.
Tambah Zulkefly, siasatan berhubung kejadian masih diteruskan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Rule 10 LN 166/59. – K! ONLINE











