CYBERJAYA 2 Mac – Sebanyak 864 unit rumah termasuk empat unit mesra orang kurang upaya (OKU) Selangorku Idaman Residensi kini dalam pembinaan di Selangor Cyber Valley (SCV), di sini.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pembinaan di bawah kelolaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor itu dijangka siap sepenuhnya pada 2021.
“Pembangunan pangsapuri Selangorku Idaman Residensi ini dibina di atas tapak berkeluasan 5.764 hektar yang terdiri daripada dua blok iaitu Blok A dengan 14 tingkat manakala Blok B mempunyai 15 tingkat.
“Setiap unit rumah akan dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air yang mengetengahkan konsep rekabentuk moden menepati citarasa masyarakat masa kini serta mempunyai perincian kemas dan eksklusif,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pangsapuri berkenaan, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar negeri, Haniza Mohamed Talha dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd. Sidek.
Mengulas lanjut Amirudin berkata, projek perumahan tersebut dibina dengan lot yang luas iaitu 1,000 kaki persegi, selaras komitmen PKNS untuk memberi keselesaan dalam setiap projek perumahan mampu milik yang dibangunkan.
Katanya, harga seunit rumah yang ditawarkan kepada orang ramai adalah RM232,000 dan pembeli akan menikmati pelbagai kemudahan awam yang lengkap.
“Penghuni kediaman ini akan menikmati kemudahan seperti ruang pejabat pengurusan, surau, dewan, ruang kedai, taman permainan, tempat letak kereta bertingkat, pondok pengawal, ruang tadika dan lif.
“Selain itu, kawasan perumahan ini juga terletak di kawasan yang strategik serta berdekatan dengan pusat beli-belah antaranya D’Pulze, Shaftbury Square dan Centrus Mall,” katanya.
Sementara itu, Norita berkata, Selangorku Idaman Residensi terletak di pembangunan bandar pintar yang berdekatan dengan lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), ELITE dan Lebuhraya Maju Expressway (MEX).
“Jarak perjalanan dari rumah ini ke Putrajaya adalah 17 kilometer (km) dan 29 km ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selain berdekatan dengan pelbagai kemudahan seperti pusat beli-belah, selain institusi pendidikan.
“Pembinaan rumah dijangka siap pada Disember tahun depan, manakala jangkaan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) diperolehi pada pertengahan 2021,” katanya. – UTUSAN ONLINE











