Hari Landskap Negara 2019 dijangka tarik lebih 10,000 pengunjung - Utusan Malaysia

Hari Landskap Negara 2019 dijangka tarik lebih 10,000 pengunjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 2 Mac – Jabatan Landskap Negara menjangka lebih 10,000 pengunjung bakal melawat sambutan Hari Landskap Negara 2019 yang sedang berlangsung di Taman Botani di sini sehingga esok.

Memuatkan artikel berkaitan…
ROTINA MOHD. DAIK
ROTINA MOHD. DAIK 

Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Rotina Mohd. Daik berkata, sambutan itu yang kali ke-21 diadakan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kira-kira pukul 10 pagi esok.

Beliau berkata, pelbagai acara menarik telah diatur sepanjang sambutan tiga hari itu yang bertemakan `Malaysia Negara Taman Terindah’ dengan memberi penekanan kepada pembangunan kawasan hijau atau landskap berkualiti.

Malah katanya, buat julung kalinya Jabatan Landskap akan mengadakan majlis anugerah kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), komuniti, sukarelawan dan syarikat hartanah yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memajukan kawasan hijau atau landskap di lokaliti masing-masing.

Jelasnya, PBT yang terpilih sebagai johan bakal menerima geran pembangunan landskap berjumlah RM1 juta selain sijil dan plak. Johan kategori komuniti pula akan diberi geran RM20,000, sijil dan plak, sementara sukalerawan serta syarikat hartanah menerima penghargaan berupa sijil dan plak.

“Pemberian geran tersebut merupakan pengiktirafan kita kepada pihak-pihak terbabit khususnya PBT yang merupakan pelaksana kepada wawasan jabatan menjadikan `Malaysia Negara Taman Terindah,’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Rotina, tema `Malaysia Negara Taman Terindah’ bermaksud, pembangunan fizikal negara diseimbangi dengan persekitaran hijau, terurus, bersih dan indah ke arah hidup berkualiti.

PENGUNJUNG melihat gerai menjual pelbagai jenis bunga sempena sambutan Hari Landskap Negara 2019 di
PENGUNJUNG melihat gerai menjual pelbagai jenis bunga sempena sambutan Hari Landskap Negara 2019 di Taman Botani, Putrajaya hari ini. – UTUSAN ONLINE

Selain itu katanya, ia juga bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya mengekal dan menjaga landskap negara sedia ada dengan menyemai budaya cintakan landskap.

“Kita dianugerahkan dengan bersekitaran yang cantik dan ia perlu dijaga, pembangunan yang hendak dibuat juga kena selari dengan karektor landskap yang ada,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, orang ramai menggunakan kesempatan cuti hujung minggu berkunjung ke program berkenaan yang turut menyediakan gerai pameran dan jualan produk-produk berasaskan landskap.

Turut mendapat perhatian pengunjung terutama kanak-kanak ialah gerai atau zoo haiwan peliharaan. Acara lain yang diatur sepanjang program ialah `park race’, `expert talk’, senam robik, pertandingan mural, gubahan bunga, mewarna, eskplorasi taman dan food truck.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN