Hina Nabi: Kolej diminta ambil tindakan - Utusan Malaysia

Hina Nabi: Kolej diminta ambil tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG 1 Mac – Selain tindakan daripada pihak berkuasa, pengurusan Kolej Komuniti diminta mengenakan tindakan tegas terhadap seorang pensyarah kolej itu kerana didakwa memperlekehkan usaha umat Islam membela Nabi Muhammad SAW yang dihina pihak tidak bertanggungjawab.

Kenyataan dalam Facebook menggunakan nama Zulhafirie Wan Ahmad (Pek Dik) yang didakwa pensyarah Teknologi Maklumat di Kolej Komuniti itu kini tular dalam media sosial.

Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Ummah Bentong, Khairudin Abdullah berkata, pihaknya bersama 16 NGO lain yang membuat laporan polis terhadap kenyataan dalam akaun Facebook lelaki berkenaan hari ini berharap bukan sahaja tindakan tegas polis tetapi pihak kolej ter­babit turut memberikan perhatian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita minta pihak kolej mengambil tindakan terhadapnya atau memohon maaf atas apa yang mungkin tidak sengaja dilakukan atau dia ter­ikut-ikut dengan apa yang terdapat dalam Facebook.

“Sebagai penganut agama Islam perlulah menghormati Nabi Muhammad SAW, kalau bersalah kita minta maaf, mungkin terlanjur, tersalah cakap. Kita tahu dia pensyarah tahap dia tinggi tetapi dalam kes ini sesiapa pun jika bersalah kena minta maaf,” katanya selepas membuat laporan polis berhubung isu berkenaan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Laporan polis turut dibuat berhubung kenyataan dalam akaun Facebook Sally Yen yang sengaja menghina Nabi Muhammad SAW dan satu video tular seorang pemuda mendakwa bernama N. Ganas Paran yang menghina Rasulullah serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Khairudin, laporan polis itu dibuat bagi memastikan tindakan sewajarnya dikenakan terhadap individu yang cuba menjejaskan keharmonian negara.

Dalam pada itu, lebih 200 umat Islam daripada pelbagai NGO, UMNO dan Pas berhimpun di pekarangan Masjid Sultan Ahmad Shah di sini selepas solat Jumaat bagi membantah penghinaan demi penghinaan terhadap Islam.

Yang Dipertua Pas Bentong, Abdul Hamid Bahatin berkata, perhimpunan seperti itu akan diteruskan sekiranya penghinaan terhadap Islam tidak dihentikan dan ia merupakan amaran kepada tindakan menghina Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini