KUALA LUMPUR 1 Mac – Seorang lelaki yang tular di media sosial kerana bertindak melampau dengan memukul dan merompak seorang wanita di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, dua minggu lalu akhirnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh G. Thina Thayaalan, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang merupakan bekerja sebagai penyelengara pendingin hawa telah merompak serta mendatangkan kecederaan terhadap seorang pengurus Maybank, Lee Meei Shan, 48 dengan melarikan dua kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kad kredit serta wang tunai RM400.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di MRT Taman Mutiara, Cheras pada pukul 6.45 pagi, 14 Februari lalu.
Pendakwaan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N. Joy Jothi dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan membawa hukuman penjara 20 tahun serta sebatan.
Joy Jothi tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan dilakukan adalah kejam selain mendapat perhatian di media sosial.
Mahyon kemudiannya menetapkan 15 Mac ini sebagai sebutan semula kes berkenaan.
Utusan Online pada 14 Februari lalu melaporkan, mangsa berusia 48 tahun itu dikatakan berada dalam lif berkenaan bersama suspek sebelum dibelasah dan disamun lelaki tersebut.
Suspek melarikan dompet mangsa yang mengandungi kad pengenalan, kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang tunai berjumlah RM400.
Akibat kejadian itu, mangsa cedera di dahi dan badan serta dirawat di sebuah hospital.
Ekoran kejadian tersebut pada 18 Februari, lelaki itu ditahan pada pukul 8.10 malam semalam di Taman Cheras, Jalan Cheras di sini oleh pasukan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras. – UTUSAN ONLINE











