SHAH ALAM 27 Feb. – Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd.Kassim mengesahkan dia telah dipukul oleh perusuh menggunakan objek pada insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, 27 November tahun lalu.
Bagaimanapun anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya itu gagal mengenalpasti objek yang digunakan untuk membelasahnya.
Perkara tersebut dimaklumkan Muhammad Adib ketika menjawab 15 soalan yang dikemukakan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman yang disediakan atas beberapa helaian kertas.
Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, soalan itu diberikan kepada Muhammad Adib pada 12 Disember 2018 pada waktu tengah hari rentetan anggota bomba itu telah menceritakan kejadian yang menimpanya buat kali pertama ketika dia dirawat di Institut Jantung Negara pada 5 Disember 2018.
Saksi ke-18 prosiding inkues bagi menentukan kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim menjelaskan, beliau berjumpa dengan anggota bomba itu selepas mangsa selesai menjalani rawatan fisioterapi dan Muhammad Adib berada dalam keadaan baik ketika menandakan jawapan bagi 15 soalan yang disediakan atas kertas.
Antara beberapa soalan yang ditanya kepada Muhammad Adib ialah sama ada perusuh ada membuka pintu jentera dan adakah perusuh ada menariknya keluar dari kenderaan bomba.
Bagi soalan 14 yang bertanyakan perasaannya ketika itu, lelaki terbabit menandakan ruangan `terancam’.
Sepanjang waktu Muhammad Adib menanda jawapan, Pengarah Bomba Selangor, Azmi Osman, kedua ibu bapa Muhammad Adib, seorang saksi berdiri di kiri katil yang tidak diingati namanya, seorang anggota bomba dikenali Syafiq dan dua jururawat ada bersama mereka.
Dalam pada itu, Mahkamah Koroner di sini semalam sekali lagi menyaksikan air mata anggota bomba apabila Syed Shahril Anuar menitiskan air mata kerana sebak mengenang memori bersama Muhammad Adib.
Katanya, Muhammad Adib ada berjumpa dengannya untuk membuat permohonan cuti kahwin yang bakal berlangsung pada penghujung Disember tahun lalu.
“Saya bergurau dengan mengatakan kad jemputan pertama harus diberikan kepada saya, barulah cuti diluluskan. Selepas itu kami sama-sama ketawa. Selepas itu, dia ada mengatakan saya perlu hadir kerana dia adalah anggota yang akan berkahwin pada penutup 2018. Saya peluk dia dan mengatakan insyAllah akan datang ke kendurinya,” ujarnya sambil menitiskan air mata.
Berkongsi cerita lagi, Syed Shahril Anuar berkata, hajatnya untuk mencadangkan nama Muhammad Adib bagi menerima pekerja cemerlang tidak kesampaian kerana anggota bomba itu telah meninggal dunia.
“Sepanjang Muhammad Adib berkhidmat selama empat tahun di balai ini, dia sentiasa menerima pujian daripada lapisan masyarakat. Ini kerana pintu balai sentiasa terbuka untuk orang awam dan sekiranya ada lawatan, Muhammad Adib akan memberikan kerjasama.
“Muhammad Adib merupakan seorang yang sangat disenangi oleh semua dan tidak mempunyai sebarang masalah dengan anggota lain dan juga saya. Arwah juga suka tersenyum selain gemar menunjukkan “thumbs up”, ujarnya.-UTUSAN ONLINE











