PUTRAJAYA 28 Feb.- Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan hari ini dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diambil keterangan dipercayai berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin Pas.
Menurut sumber, Ahli Parlimen Kota Bharu itu dikatakan tiba ke ibu pejabat SPRM di sini pada pukul 9.20 pagi.
“Siasatan susulan kali ini kepada individu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
SPRM sebelum ini telah memanggil beberapa individu termasuk Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abdul Nik Abdul Aziz berhubung kes wang RM90 juta yang disyaki diterima pemimpin Pas melalui 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull baru-baru ini mengesahkan tiada dana itu dimasukkan ke dalam akaun rasmi Pas.-UTUSAN ONLINE











