PUTRAJAYA 28 Feb. – Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya akan mengetuai delegasi Malaysia ke Majlis Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Sesi Ke-46 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 1 hingga 2 Mac ini.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, Majlis Menteri-menteri Luar (CFM) akan membincangkan isu-su politik, ekonomi dan sosio-budaya melibatkan umat Islam bertemakan ‘Session of 50 Years of Islamic Cooperation: Roadmap for Prosperity and Development.’
“Semasa sesi tersebut Marzuki akan menyampaikan satu kenyataan negara dan dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan ketua-ketua delegasi yang lain bagi membincangkan isu berkepentingan bersama,” jelasnya dalam kenyataan itu hari ini.
Menurut Wisma Putra lagi, CFM merupakan mesyuarat tahunan Menteri-menteri Luar OIC bagi mengkaji semula kemajuan pelaksanaan keputusan-keputusan dan resolusi-resolusi yang telah diterima pakai semasa Sidang Kemuncak OIC serta Mesyuarat Majlis Menteri-menteri Luar OIC yang lepas.
Jelas Wisma Putra, sesi CFM ini juga akan memperlihatkan pencalonan wakil Malaysia, Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Ahmad Azam Ab. Rahman pada pemilihan Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia OIC (Independent Permanent Human Rights Commission of the OIC) bagi Kumpulan Asia.
“Penglibatan Malaysia dalam sesi ini membuktikan komitmen berterusan dan sokongan negara kepada OIC atas usaha-usaha menangani isu dan cabaran semasa yang dihadapi oleh umat Islam,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











