KUALA LUMPUR – Satu tembakan amaran terpaksa dilepaskan polis dalam usaha menahan dua lelaki warga tempatan yang cuba melarikan diri selepas aksi kejar mengejar bersama kedua-dua suspek yang menaiki sebuah kereta di Jalan Gombak di sini semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kejadian berlaku sewaktu Anggota MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju sedang membuat rondaan Op Rentap Khas dan terlihat kedua-dua suspek yang menaiki kereta jenis Proton Persona dalam keadaan mencurigakan sekitar pukul 5.15 petang.
“Suspek yang masing-masing berusia 33 dan 37 tahun itu kemudiannya secara tiba-tiba bertindak menghimpit serta melanggar kenderaan dinaiki anggota polis di bahagian hadapan sebaik diarahkan untuk berhenti sebelum melarikan diri.
“Dalam kejadian kejar mengejar itu, kereta dinaiki kedua-dua suspek turut melanggar sebuah motosikal serta lima kenderaan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Mazlan, kereta tersebut kemudiaannya berpatah balik dan melawan arus di Jalan Gombak lalu memasuki kawasan Kampung Lee Kong Cheng di sini sebelum membrek secara mengejut dan mengundurkan kenderaan untuk melanggar bahagian hadapan kenderaan yang dinaiki anggota polis.
“Kereta suspek kemudiannya memasuki jalan mati dan cuba melanggar anggota polis yang turun dari kenderaan untuk menahan kedua-dua lelaki berkenaan.
“Anggota polis kemudiannya melepaskan tembakan amaran ke udara sebelum menembak tayar kereta suspek bagi menghentikannya daripada berterusan merempuh kenderaan polis dalam usaha untuk meloloskan diri,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, pemeriksaan yang dilakukan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod dikehendaki polis berhubung kes dadah.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh serta menghalang tugas penjawat awam.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya. – K! ONLINE











