LONDON 28 Feb. – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui kejayaan pasukannya membelasah Watford 5-0 membuktikan bahawa mereka begitu tertekan untuk berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sadio Mane dan Virgil van Dijk masing-masing menjaringkan dua gol dan satu lagi dihasilkan Divock Origi sekali gus memastikan Liverpool terus kekal di kedudukan teratas mengatasi Manchester City dengan satu mata selepas The Citizens itu menewaskan West Ham 1-0.
Tiga seri dalam empat aksi EPL menyebabkan misi Liverpool untuk merangkul kejuaraan liga buat kali pertama sejak 1990 berada dalam bahaya apabila skuad kendalian Pep Guardiola sedang mengekori rapat di tangga kedua.
“Ini semua…pemain menunjukkan betapa seronoknya mereka menikmati perlawanan ini. Petunjuk yang penting. Anda tahu apa yang orang katakan tentang kami. Sudah tentu itu tidak benar. Pemain ini semuanya menakjubkan dan hari ini mereka membuktikan minat mereka.
“Aksi Mo (Mohamed Salah) menakjubkan. Sadio meledak gol memukau. Tiga pemain tengah bermain dengan baik. Kami menang 5-0 jadi anda tidak perlu bercakap tentang mereka malah penjaga gol, Alisson juga beraksi dengan bagus. Pemain mengawal permainan dengan baik,” kata Klopp.
Jurulatih dari Jerman itu turut memuji Trent Alexander-Arnold selepas mencipta tiga gerakan gol. – AFP











