Pelajar tahfiz dalami sukan sunah - Utusan Malaysia

Pelajar tahfiz dalami sukan sunah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CUACA di Wisata Dakwah Terengganu (WDT) pada petang itu panas terik. Begitu pun, beberapa orang pelajar lelaki tidak menghiraukan keadaan cuaca itu. Sebaik selesai solat Asar, mereka segera berlari ke arah padok iaitu kandang kecil untuk kuda lumba.

Jarak masjid dengan padok itu kira-kira 50 meter. Di situ kelihatan dua ekor kuda masing-masing berwarna putih dan coklat. Muhammad Adam Shah, 16, antara yang pertama sampai di padok itu.

Tanpa rasa kekok, Muhammad Adam mengusap dan menggosok kuda berwarna coklat atau lebih mesra dipanggil Amin. Amin yang berusia 15 tahun itu diberi makan timun sebelum dikeluarkan ke kawasan sebelah padok untuk digosok badannya sebelum beberapa pelajar lain datang membantu.

Selepas pelana dipasang, Amin pada usia mudanya aktif berlumba dibawa ke kawasan arena bagi membolehkan para pelajar berlatih menunggang.

“Hampir tiga bulan saya bersama dua ekor kuda ini. Pada mulanya, saya agak takut untuk mendekati haiwan kesayangan Rasulullah SAW ini, namun selepas berlatih menunggangnya saya semakin sayang dan faham keletahnya.

“Selain belajar menunggang, saya dan rakan-rakan lain perlu mengambil berat keperluan kuda ini seperti menjaga kesihatan dan kebersihan padok,” kata Muhammad Adam yang merupakan pelajar Maahad Darul Azhar Wal Hikmah (MDAWH), Mercang, Terengganu.

Berkongsi pengalaman berkuda, Muhammad Adam yang berasal dari Shah Alam, Selangor pernah jatuh sebanyak enam kali, tetapi hanya mengalami lebam di anggota badan. Bagaimanapun, dia tetap bersabar dan kini ia membuahkan hasil apabila dia bukan sahaja boleh menunggang kuda dengan baik, malah boleh memanah ke sasaran sambil menunggang.

MDAWH ditubuhkan pada awal 2017 di kawasan seluas 0.8 hektar dan mempunyai 53 orang pelajar. Maahad tahfiz tersebut merupakan pengendali WDT iaitu pusat sukan sunah yang meliputi berkuda dan memanah.

MDAWH terletak kira-kira 50 minit perjalanan dari pusat bandar Kuala Terengganu.

Menariknya MDAWH merupakan satu-satunya maahad tahfiz di negara ini yang mempunyai arena sukan sunah yang saiznya menepati taraf antarabangsa.

Menurut Mudir MDAWH, Ahmad Izwan Hamzah, 40, idea penubuhan WDT itu bermula apabila pihaknya menghantar 40 orang pelajarnya ke Kem Mujahadah di Maahad Darul Quran Was Sunnah, Pekanbaru, Riau pada Oktober tahun lalu.

“Di sana sukan olahraga sunah seperti berkuda, berenang dan memanah sangat popular. Dalam kem tersebut, para pelajar kami telah didedahkan tentang berkuda dan memanah.

“Apabila pulang ke Malaysia, kami memutuskan untuk mengadakan sukan sunah dan mendapatkan pandangan pakar daripada pihak di Pekanbaru dari segi peralatan, kawasan dan latihan.

“Hasilnya, sejak tiga bulan lalu kami berjaya merealisasikan impian tersebut sekali gus memberi aktiviti tambahan kepada para pelajar,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Sejak pengenalan aktiviti baharu tersebut, masa senggang para pelajar MDAWH mula berubah daripada menghabiskan masa dengan telefon atau games, mereka mula seronok berkuda dan memanah. Mereka juga diajar berenang di Sungai Merchang yang jaraknya dua kilometer pada setiap hujung minggu.

Latihan

Setiap dua hari sekali mereka akan menunggang kuda yang dilakukan pada waktu pagi selama tiga jam dan petang pula sejam setengah, manakala memanah boleh dilakukan setiap hari di kawasan memanah yang berkeluasan 0.2 hektar.

Para pelajar diajar dari segi teknik-teknik menunggang, keselamatan, pemakaian yang sesuai dan penjagaan kuda.

Bagai memanah pula, mereka diajar asas memanah, peralatan dan teknik-teknik memanah menggunakan busur tradisional.

Ahmad Izwan berkata, bagi kemudahan padok dan kelengkapan memanah, pihaknya membelanjakan kira-kira RM30,000. Arena kuda pula ukuran dalamnya ialah 70×70 meter, manakala bahagian luar lebarnya empat meter.

“Aktiviti berkuda dan memanah ini baik untuk kecergasan minda dan fizikal. Berkuda melatih daya kepimpinan individu kerana kuda dapat membaca naluri penunggang. Jika, tiada keyakinan, kuda tidak akan ikut perintahnya.

“Bagaimanapun, jika seseorang itu tegas dan berkeyakinan tinggi, kuda akan berlari laju dan mengikut arahannya,” kata Ahmad Izwan yang turut mempunyai kemahiran memanah dan menunggang kuda.

Selain itu, melakukan sukan sunah juga mendapat pahala daripada Allah.

Aktiviti memanah di MDAWH mengfokuskan kepada busur tradisional berbanding busur moden. Ini kerana busur tradisional mempunyai kelebihan tersendiri dan perlu dikendalikan secara manual secara tidak langsung mereka akan cekap menggunakan busur moden.

Pertandingan

Sukan memanah tidak semudah yang disangka kerana permainan itu memerlukan tahap ketenangan yang tinggi serta mesti kekal fokus pada setiap masa.

Ujarnya, perkara utama yang harus diingat oleh pemanah adalah keselamatan kerana aspek tersebut amat penting ekoran anak panah boleh mencederakan orang sekeliling jika tidak diambil berat.

“Selain sukan memanah telah dipertandingkan sehingga ke peringkat antarabangsa, aktiviti ini sesuai dimainkan oleh pelbagai lapisan umur dan dianggap sebagai terapi untuk melatih diri agar kekal fokus, tenang dan berdisiplin.

“Secara tidak langsung, aktiviti memanah tersebut melatih mereka menghormati orang tua dan membentuk pelajar yang berkemahiran memanah. Kami juga dapat menyediakan mereka untuk bersaing dalam mana-mana pertandingan terutamanya di peringkat tempatan,” katanya sambil memberitahu para pelajar yang mahir memanah dan berkuda, akan dilatih memanah sambil menunggang kuda.

MDAWH merupakan ahli kelab Gabungan Pemanah Terengganu yang membolehkan mereka menyertai pertandingan seperti Piala Sultan Mizan.

Pakej

Tambah Ahmad Izwan, seiring dengan nama WDT, pihaknya turut membuka aktiviti berkenaan kepada orang ramai sama ada secara perseorangan atau berkumpulan.

Pihaknya menyediakan beberapa pakej berkuda kepada orang awam seperti tunggangan santai yang dikenakan bayaran RM15 untuk dua pusingan. Bagi yang ingin belajar menunggang sesi selama 45 minit dikenakan bayaran sebanyak RM90 seorang.

Terdapat juga pakej Terapi Berkuda selama sejam dengan bayaran RM100 dan Tepi Pantai selama sejam dengan kadar bayaran RM120 hingga RM150.

Aktiviti memanah pula dikenakan bayaran RM15 seorang untuk 30 minit, manakala kelas memanah selama satu jam dikenakan bayaran sebanyak RM90.

Dalam pada itu, seorang pelajar Nur Syuhada Azhari, 22, berkata, peluang memanah dan berkuda memberikan satu pengalaman baharu buat dirinya.

Jelasnya, sebelum ini, dia hanya fokus kepada menghafal al-Quran, namun kedua-dua aktiviti itu menambah keseronokan ketika menuntut di MDAWH.

“Saya teruja memanah, ia bukan satu aktiviti yang mudah, tangan saya berasa sakit akibat terkena tali busur. Walaupun tangan lebam, saya seronok apabila berjaya memanah ke arah sasaran.

“Pertama kali dapat menunggang kuda, perasaan ketika itu bercampur aduk antara takut dan seronok. Saya berharap dapat menunggang kuda dengan mahir satu hari nanti,” katanya yang baru beberapa kali menunggang kuda.

Wisata Dakwah Terengganu di Merchang, Marang mempunyai arena sukan sunah berkuda dan memanah yang ukurannya menepati taraf antarabangsa sekali gus menyuburkan sukan itu di negeri berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×