Sektor pelancongan jana RM84.1 bilion pendapatan negara - Utusan Malaysia

Sektor pelancongan jana RM84.1 bilion pendapatan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 27 Feb. – Walaupun terdapat penurunan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa sebanyak 0.4 peratus pada tahun lalu, sebaliknya sumbangan pendapatan sektor itu kepada negara meningkat 2.4 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, negara telah memperoleh pendapatan berjumlah RM84.1 bilion menerusi kehadiran 25.8 juta pelancong pada 2018.

Menurut beliau, meskipun pada 2017 dicatatkan ketibaan 25.9 juta pelancong, namun hanya meraih RM82.2 bilion.

“Prestasi pelancongan juga mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan daripada segi perbelanjaan per kapita iaitu 2.9 peratus kepada RM3,257 manakala Purata Tempoh Tinggal (ALOS) pula meningkat daripada 5.7 kepada 6.5 malam.

“Antara 10 negara pasaran tertinggi yang menjana pelancong ke Malaysia pada tahun lalu adalah Singapura dengan 10 juta orang diikuti Indonesia iaitu 3.2 juta dan China pula adalah 2.9 juta,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman Prestasi Pelancongan Malaysia 2018 di sini hari ini.

Menurut Mohamaddin, pasaran ASEAN terus mendominasi ketibaan pelancongan ke Malaysia dengan syer 70.1 peratus diikuti jarak sederhana (20.3 peratus) dan jarak jauh (13.3 peratus).

Katanya, pertumbuhan daripada segi ketibaan pelancong boleh dilihat menerusi pasaran seperti Asia Tengah dengan 81.9 peratus, Afrika (49.1 peratus), Amerika (26.3 peratus), Asia Barat (25.3 peratus), Asia Timur (24.3 peratus), Asia Selatan (13.4 peratus) dan Eropah (7.8 peratus).

“Manakala pasaran mencatatkan penurunan pula adalah Oceania seperti New Zealand dengan 0.8 peratus dan ASEAN iaitu 7.0 peratus.

“Secara keseluruhannya, prestasi pasaran jarak sederhana dan jarak jauh tahun lalu telah menunjukkan pemulihan dengan pertumbuhan 19.3 peratus berbanding 2017 sekali gus menunjukkan impak positif kepada ALOS dan perbelanjaan pelancong,” katanya.

Mohamaddin menambah, perbelanjaan pelancong adalah tertumpu dengan segmen beli belah (33.4 peratus) diikuti oleh penginapan (25.7 peratus) dan makanan serta minuman (13.4 peratus).

“Perbelanjaan membeli-belah mencatatkan kenaikan daripada 32.7 peratus pada tahun 2017 kepada 33.4 peratus pada 2018 sekali lagi melangkaui komponen penginapan yang telah mencatatkan peratusan sebanyak 25.6 peratus pada 2017 kepada 25.7 pada tahun 2018.

“Barangan kraftangan Malaysia merupakan item yang popular dibeli oleh pelancong selain makanan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini