Pas bayar Clare RM1j? - Utusan Malaysia

Pas bayar Clare RM1j?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 26 Feb. – Pas diminta menjelaskan kepada rakyat sama ada parti itu telah membayar lebih RM1 juta kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown bagi menyelesaikan kes saman fitnah di luar mahkamah.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjelasan itu perlu dilakukan memandang­kan banyak kekeliruan dalam kalangan rakyat berhubung kes saman tersebut yang difailkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Di mahkamah ada beberapa kenyataan yang Abdul Hadi buat longgar, akhirnya Pas tarik balik saman ini dan Rewcastle-Brown tidak meminta maaf malah terus dengan tuduhan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Yang penting­nya saya nak tanya apakah ada bayaran yang diberikan kepada Rewcastle-Brown daripada Pas, lebih RM1 juta, boleh tak disahkan,” katanya selepas menyampaikan ucaptama sempena Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang (PIBIS) di sini hari ini.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa Presiden Pas itu menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Walau bagai­ma­na­pun, kedua-dua pihak bersetuju memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan masing-masing menarik balik tuntutan pada 1 Februari lalu.

Menurut Anwar, beliau meminta penjelasan itu daripada Pas ke­rana melihat terlalu banyak percanggahan wujud berhubung penarikan balik kes saman tersebut.

“Saya tak mahu ulas panjang, saya tidak pernah mengulas me­ngenai mereka walaupun mereka telah kecam saya setahun.

“Ini kali pertama (ulas me­ngenai Pas) sebab saya lihat percanggahan kenyataan termasuk boleh berbohong, saya sukar untuk terima sebagai seorang muslim,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan penjelasan menyeluruh berhubung siasatan dana RM90 juta yang dikatakan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun Pas.

“Saya baca kenyataan afidavit Rewcastle-Brown dan dia sebut wang dana UMNO masuk ke dalam akaun tokoh-tokoh Pas, dana 1MDB masuk RM3 juta ke dalam akaun seorang tokoh Pas.

“Dana UMNO masuk kepada Pas, kalau disebut dana 1MDB sumber lain, tapi dana UMNO kepada Pas dia (Rewcastle-Brown) sebut dan Abdul Hadi saman,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN