HULU LANGAT 26 Feb. – Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang berlangsung hari ini berjalan lancar dengan menyaksikan 78 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Sebanyak dua pusat mengundi dibuka bagi tujuan berkenaan iaitu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan di Kem Batalion Ke-4, Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih.
Para pengundi terdiri daripada anggota keselamatan dan pasangan masing-masing.
Mencuri tumpuan adalah kehadiran tiga calon yang bertanding pada PRK DUN Semenyih iaitu calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.
Ketiga-tiga calon kelihatan bersalaman dan tidak melepaskan peluang mengambil gambar bersama-sama.
Malangnya, hanya calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali tidak muncul pada waktu itu dan tiba ke pusat mengundi beberapa jam kemudian iaitu selepas ketiga-tiga calon beredar.
Yang turut hadir membuat lawatan ke pusat mengundi berkenaan ialah Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.
Azhar Azizan ketika ditemui pemberita berkata, proses pengundian di kedua-dua pusat mengundi berjalan dengan lancar.
Pengundian awal hari ini sepatutnya melibatkan 858 pengundi berdaftar.
Daripada jumlah itu, seramai 761 anggota polis PGA dan pasangan mengundi di Dewan Serbaguna, Kem Batalion Ke-4 PGA Semenyih manakala 97 anggota keselamatan lagi mengundi di IPD Kajang.
Sebahagian lagi iaitu 93 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis PGA sudah mengundi secara pos.











