GENEVA 26 Feb. – Turki dan Britain menyuarakan kebimbangan terhadap penganiayaan yang dilakukan China terhadap etnik Uighur dan penduduk Islam lain di rantau Xinjiang ketika sidang Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di sini.
Reuters melaporkan, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu menggesa Beijing melindungi kebebasan agama dan identiti budaya etnik itu.
Diplomat dan aktivis mengatakan China telah bersungguh-sungguh melobi bagi mengelakkan pengawasan terhadap dasar negara itu di Xinjiang dan isu-isu hak lain dalam mesyuarat yang akan berlangsung selama empat minggu itu.
Negara-negara Barat berharap kepada Turki dan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) lain untuk mengetengahkan tentang kem tahanan di Xinjiang di kawasan pedalaman barat China.
China mengatakan kem tersebut sebagai kemudahan pendidikan semula dan latihan yang berjaya menghentikan serangan oleh kumpulan militan.
Britain adalah satu-satunya negara yang senada dengan Turki dalam membangkitkan isu itu pada pembukaan UNHRC.
Cavuslogu tidak menyebut secara khusus mengenai kem tahanan besar-besaran namun memberitahu dalam forum tersebut bahawa laporan pelanggaran hak asasi terhadap Uighur dan penduduk Islam lain di Xinjiang amat serius.
Menurutnya, perbezaan harus dibuat antara pengganas dan orang yang tidak bersalah.
Tambahnya, Ankara berharap hak asasi manusia sejagat termasuk kebebasan beragama perlu dihormati serta dilindungi supaya identiti kebudayaan etnik Uighur dan penduduk Islam lain terjamin.
Sementara itu, Daily Mail melaporkan, semakin ramai ahli keluarga etnik Uighur yang berada di luar negara tidak mahu berdiam lagi selepas dua tahun kerajaan China menahan kumpulan minoriti tersebut.
Kira-kira 36 ahli saudara mara daripada kira-kira sejuta etnik Uighur, Kazakh dan yang lain yang ditahan tanpa tuduhan itu bercakap menyuarakan tentang penahanan besar-besaran tersebut di satu majlis di Washington, Amerika Syarikat (AS) semalam.











