PUTRAJAYA – Pendaftaran dan tuntutan Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) boleh dibuat mulai 1 Mac melalui laman web rasmi www.mysalam.com.my yang mula beroperasi hari ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, semua rakyat di negara ini yang mendapatkan rawatan di mana-mana hospital kerajaan boleh membuat permohonan tertakluk kepada syarat warganegara Malaysia dan berpendapatan rendah.
“Pendaftaran boleh dilakukan secara atas talian melalui laman web ini dan penerima yang layak boleh memfailkan tuntutan melalui saluran sama.
“Semakan dan tapisan akan dibuat ke atas pemohon,” katanya pada sidang akhbar pengenalan laman web rasmi Skim mySalam di Kementerian Kewangan hari ini.
Skim mySalam yang bermula 1 Januari lalu menawarkan perlindungan kesihatan percuma kepada penerima B40 yang layak untuk 36 penyakit kritikal sehingga RM8,000 dan memberi bayaran harian sebagai gantian pendapatan RM50 untuk maksimum 14 hari setahun.
Sumbangan permulaan sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern digunakan untuk membayar setiap penerima di bawah skim tersebut.
Menurut Guan Eng, selain secara dalam talian di laman web rasmi, tuntutan Skim mySalam juga boleh dibuat di agensi-agensi yang akan diumumkan di laman web selain hospital kerajaan.
“Bagi memudahkan segala urusan, maklumat lanjut dan jawapan kepada soalan-soalan lazim berkenaan skim itu juga terdapat di laman web berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai isu keselamatan data penerima Skim mySalam, Guan Eng berkata, semua data adalah terpelihara di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).
“Great Eastern boleh mengakses data penerima skim ini namun syarikat itu tertakluk kepada PDPA.
“Individu yang layak bukanlah pelanggan syarikat insurans itu sebalik mereka adalah pelanggan kerajaan kerana skim ini adalah milik kerajaan,” katanya. – K! ONLINE











