JOHOR BAHRU 26 Feb. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menganugerahkan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.1) kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
Berangkat sama pada majlis yang berlangsung di Istana Perak, Kuala Lumpur pada hari ini ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Sultan Nazrin Shah, 62, dimasyhurkan sebagai Sultan Perak ke-35 pada 2014.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut sebelum diikuti majlis penganugerahan D.K.1 oleh Sultan Ibrahim.
Selepas selesai majlis penanugerahan, Baginda berdua berangkat ke majlis santapan sebelum diikuti sesi bergambar.
Hadir sama dalam Istiadat Penganugerahan D.K 1 itu termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian; Yang Dipertua Majlis Jumaah DiRaja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.
Antara pemimpin Perak yang turut hadir ialah Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin. – UTUSAN ONLINE











