KUALA LUMPUR 26 Feb. – Seorang warga emas yang disyaki menghina Nabi Muhammad SAW menerusi laman sosial Facebook akan didakwa di mahkamah di sini esok.
Sumber yang boleh dipercayai dari Jabatan Peguam Negara memaklumkan lelaki berusia 68 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Sebelum ini, media melaporkan suspek ditahan pada 19 Februari lalu di rumahnya di Mentakab, Pahang, sebelum direman tiga hari bagi membantu siasatan kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah, melalui Facebook.
Berita berkaitan:
Sementara itu, dalam kes berlainan suspek yang dipercayai meletakkan patung berhala di Surau Sabilul Huda di Klang juga akan didakwa esok di Kompleks Mahkamah Klang, Selangor.
Lelaki itu sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 259 dan 379 Kanun Keseksaan.
Minggu lalu, media melaporkan jemaah surau tersebut menemukan tiga patung berhala yang diletakkan di atas pagar dan tepi pintu masuk surau berkenaan dalam dua kejadian berasingan. – UTUSAN ONLINE











