KUALA LUMPUR 26 Feb. – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menjelaskan tidak berlaku sebarang pergolakan dalam Pakatan Harapan (PH) sehingga boleh menjejaskan keharmonian negara seperti yang diperkatakan beberapa pihak.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, memang berlaku perbezaan pendapat antara pemimpin parti dalam PH tetapi perkara tersebut tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan.
“Perbezaan cara kerja dan pendapat memang berlaku tetapi ia adalah lumrah dalam politik. Dari segi matlamat untuk negara, semua parti dalam PH mempunyai hala tuju yang sama.
“Mengenai dakwaan negara akan kucar-kacir sekiranya berlaku sesuatu kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kita sentiasa bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dan akan memastikan keharmonian negara terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara Wyndham Hotel and Resort dengan Wyndham Acmar Klang Hotel and D’Rapport Residences di D’Rapport Residences Sales Galery di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dalam laporan The Star Online menzahirkan kebimbangan negara akan menjadi kucar-kacir sekiranya berlaku sesuatu kepada Dr. Mahathir. -UTUSAN ONLINE











