Bayi perempuan disyaki didera pengasuh - Utusan Malaysia

Bayi perempuan disyaki didera pengasuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 26 Feb. – Seorang bayi perempuan berusia setahun lapan bulan disyaki menjadi mangsa dera ketika berada di rumah pengasuhnya di Pangsapuri Ampang Jajar, Mak Mandin di sini, Sabtu lalu.

Kejadian itu disedari ibu mangsa selepas wanita berusia 23 tahun berkenaan menemukan kesan kecederaan pada bahagian belakang badan anaknya selepas diambil dari rumah pengasuh tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ibu mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan telah meninggalkan bayi itu selama tiga hari iaitu sejak Khamis lalu di rumah pengasuh berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ibu mangsa hanya mengambil semula anaknya pada Sabtu lalu, kira-kira pukul 4 pagi.

“Namun apabila sampai di rumah, ibu mangsa menyedari terdapat kesan merah pada belakang badan anaknya dan kesan tersebut kemudiannya menjadi hitam serta berbirat,” katanya di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, mangsa dihantar kepada pengasuh berkenaan bersama kakaknya yang berusia tiga tahun sejak pertengahan bulan ini dengan bayaran RM300 sebulan.

“Ibu mangsa mendakwa dia sering meninggalkan mangsa selama beberapa hari di rumah suspek sebelum ini dengan alasan terlalu penat bekerja dan balik awal pagi,” katanya.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Kepala Batas di sini bagi mendapatkan pemeriksaan.

“Doktor mengesahkan terdapat kesan berbirat pada bahagian belakang badan mangsa yang disyaki dipukul dengan objek seperti penyangkut baju selain kesan lebam pada siku kiri dan luka pada paha sebelah kanan.

“Pihak hospital perlu membuat pemerhatian lanjut dan mangsa telah dimasukkan ke wad kanak-kanak hospital,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis sedang mengesan pengasuh berkenaan untuk menahannya bagi siasatan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN