IPOH – Sebuah pusat urut yang disyaki menawarkan urutan dan khidmat seks di Jalan Dato Tahwil Azhar diserbu Jabatan Imigresen Perak dalam satu Ops Bersepadu kelmarin.
Serbuan selama lebih tiga jam yang bermula pada pukul 3.40 petang itu dijalankan enam pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Perak selepas mendapat maklumat daripada risikan dan orang awam.
Pengarah Jabatan Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, ketika serbuan dilakukan, wanita-wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan sedang asyik melayan pelanggan tempatan tanpa menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Maklumat awal yang diterima, bayaran yang dikenakan terhadap pelanggan adalah sebanyak RM188 untuk 45 minit dan RM208 untuk sejam.
“Seramai 22 individu pelbagai warganegara diperiksa dan 17 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Tambah beliau, enam wanita warga Vietnam dan empat wanita Thailand serta dua lelaki Myanmar dan seorang lelaki Bangladesh yang dipercayai pelayan dan pekerja di pusat tersebut ditahan.
“Empat lagi pekerja tempatan termasuk majikan turut ditahan di premis yang beroperasi bermula pukul 11 pagi hingga 2 pagi itu.
“Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 19 hingga 49 tahun,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Jelasnya, siasatan mendapati mereka telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah selain melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesalahan juga didapati dilakukan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa pas yang sah.
“Kesemua warga asing dibawa ke Depot Imigresen Langkap untuk tindakan lanjut,” katanya. – K! ONLINE











