ALOR SETAR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah masih menyiasat punca sebenar kebakaran feri penumpang Dragon Star 1 di perairan Langkawi berhampiran Selat Kuah di pulau peranginan tersebut semalam.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi JBPM negeri, Penguasa Bomba Tuan Zamani Ismail berkata, siasatan secara menyeluruh perlu dilakukan Bahagian Siasatan Kebakaran JBPM negeri bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan feri tersebut terbakar.
“Kebakaran didapati bermula dari bahagian belakang feri yang turut menempatkan bilik enjin, bagaimanapun siasatan terperinci perlu dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas tentang insiden tersebut, kata beliau, anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati feri telah terbakar antara 60 hingga 70 peratus dan sebahagian penumpang telah berjaya diselamatkan oleh bot penumpang lain.
“Api marak dengan cepat atas pelbagai kemungkinan termasuklah faktor cuaca panas, angin dan material yang digunakan di dalam feri,” ujarnya.
Kosmo! Online semalam melaporkan seramai 52 penumpang dan enam kru feri bagi perjalanan Langkawi-Kuala Perlis berdepan detik cemas apabila pengangkutan air itu terbakar di perairan Langkawi berhampiran Selat Kuah di pulau peranginan tersebut kira-kira pukul 2.45 petang semalam. – K! ONLINE











