IPOH 26 Feb. – Sebuah pusat urut di Jalan Dato Tahwil Azhar di sini diserbu Jabatan Imigresen Perak kelmarin dalam satu Ops Bersepadu selepas disyaki menawarkan urutan dan khidmat seks.
Bertindak hasil risikan serta maklumat orang awam, operasi lebih tiga jam bermula pukul 3.40 petang itu disertai enam pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Perak.
Sewaktu serbuan dibuat, wanita-wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan, sedang asyik melayan pelanggan tempatan tanpa menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Hasil maklumat awal, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM188 untuk 45 minit dan RM208 bagi sejam dengan pusat urut itu beroperasi bermula pukul 11 pagi hingga 2 pagi.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, sebanyak 22 individu telah diperiksa terdiri daripada pelbagai warganegara.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 17 orang telah ditahan melibatkan pekerja premis terdiri daripada seorang lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Myanmar, empat wanita warga Thailand dan enam wanita warga Vietnam.
“Turut ditahan ialah empat orang pekerja dan majikan rakyat Malaysia. Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 19 hingga 49 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kamalludin berkata, siasatan awal mendapati mereka telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah selain melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Selain itu katanya, kesalahan juga didapati dilakukan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa pas yang sah.
“Mereka ditahan di bawah Seksyen 51(5)(d) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan serta tindakan lanjut sebelum diserahkan ke Depot Imigresen Langkap,” katanya. – UTUSAN ONLINE











