GERIK – Seekor gajah betina yang mati di tepi Jalan Raya Timur-Barat di sini kelmarin berpunca daripada kekurangan nutrisi selepas bedah siasat dijalankan terhadap bangkainya semalam.
Pemangku Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Wan Shaharuddin Wan Nordin berkata, gajah yang mempunyai saiz tapak kaki 35.6 sentimer itu juga dijangkiti ulser teruk di dalam mulutnya.
“Perhilitan Perak mendapat makluman daripada orang awam mengenai kehadiran gajah berkenaan di kawasan tersebut kira-kira pada pukul 10 pagi kelmarin sebelum lima anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi mengawal lalu lintas.
“Gajah betina tersebut tidak bergerak dan hanya berdiri di atas jalan dari pagi sehingga malam. Anggota kemudian cuba menggerakkan mamalia itu namun ia terjatuh ke dalam longkang ketika bergerak ke belakang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Wan Shaharuddin, gajah yang dianggarkan berusia 35 tahun itu kemudiannya mati di kawasan tersebut pada pukul 10.30 pagi semalam.
“Bedah siasat ke atas haiwan itu yang dilakukan di lokasi kejadian mendapati ia kekurangan nutrisi selain mengalami ulser teruk di dalam mulut sehingga menyebabkan ia sukar untuk makan.
“Masih terdapat daun yang tidak dikunyah di dalam mulutnya akibat ulser yang dihidapinya selain lemak di dalam badan juga tinggal sedikit dan ia menggunakan lemak sedia ada untuk mendapatkan tenaga,” katanya.
Katanya, keadaan itu juga mengakibatkan gajah berkenaan sangat lemah sehingga tidak mampu bergerak dan bangkainya kemudian ditanam di lokasi berhampiran. – K! ONLINE











