Proses ambil alih konsesi lebuh raya dijangka selesai enam bulan  - Utusan Malaysia

Proses ambil alih konsesi lebuh raya dijangka selesai enam bulan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kerajaan menjangkakan usaha pengambil alihan Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART daripada Gamuda Berhad akan mengambil masa enam bulan untuk memenuhi kesemua keperluan pengawalseliaan, kewangan dan undang-undang.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tanpa mengambil kira kumpulan PLUS, keempat-empat lebuh raya berkenaan menguasai 48 peratus daripada jumlah pendapatan lebuh raya-lebuh raya bertol di bandar.

“Ini meliputi sebahagian besar daripada lebuh raya dalam bandar dan menunjukkan kesungguhan serta komitmen kerajaan dalam langkah pertama memenuhi manifesto pilihan raya kami,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kerajaan akan menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada apabila pengambilalihan konsesi empat lebuh raya itu dimuktamadkan sebelum digantikan dengan model baharu iaitu caj kesesakan atau caj boleh ubah bergantung kepada masa penggunaan.

Menurutnya, peralihan mekanisme kutipan tol kepada caj kesesakan bakal memberi penjimatan sehingga RM180 juta setahun buat para pengguna empat lebuh raya berkenaan.

“Pengambil alihan empat lebuh raya itu pada harga yang adil dan berpatutan akan memanfaatkan kerajaan dan pembayar cukai menerusi penjimatan sebanyak RM5.3 bilion.

“Penjimatan ini adalah dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi berikutan pembekuan kadar tol di lebuh raya berkenaan sehingga akhir tempoh konsesi,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, caj kesesakan juga akan menggalakkan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan mereka pada waktu luar puncak sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa waktu puncak.

“Sebarang lebihan kutipan caj kesesakan akan disalurkan kepada pembangunan dan penyelenggaraan sistem pengangkutan awam negara,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×