KUALA LUMPUR – Latihan berkaitan operator bot dan feri khususnya mengenai audit keselamatan terhadap kenderaan air perlu dipertingkat bagi mengelak kemalangan termasuk kebakaran.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya sedia memberikan latihan berkenaan agar semua kakitangan sektor berkaitan bersedia menghadapi sebarang jenis kecemasan.
“Saya fikir selepas berlakunya insiden tersebut, seharusnya mana-mana syarikat pengendali feri harus memberi latihan kepada pekerja-pekerja mereka di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) dan kami sedia untuk bekerjasama memberikan tunjuk ajar bagaimana ia harus dilakukan.
“Tindakan sewajarnya akan diambil kepada operator bot dan feri sekiranya terdapat pelanggaran mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA 1994) yang telah ditetapkan,” katanya ketika menjadi tetamu Bernama Radio di sini hari ini.
Beliau mengulas insiden kebakaran feri di Langkawi, semalam. Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang, seramai 52 penumpang feri Dragon Star 1 berdepan detik cemas apabila feri yang dinaiki terbakar ketika dalam perjalanan dari Kuah menuju ke Kuala Perlis.
Menurut Mahfuz, isu keselamatan pekerjaan menjadi keutamaan pihak kerajaan bagi mengelak sebarang kejadian sama berulang dan tidak mahu sesuatu operasi dilakukan secara sambil lewa dan dikendalikan oleh mereka yang tidak kompeten. – Bernama











