KUANTAN 26 Feb. – Hutan seluas 40 hektar di Kawasan Perindustrian Gebeng dekat sini terbakar dipercayai akibat cuaca panas, selain aktiviti pembakaran yang dilakukan di sebuah tasik di kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 2.28 petang semalam memaklumkan kebakaran di hutan yang merupakan bekas kawasan pengeluaran balak dan mempunyai hutan akasia itu.
“Berdasarkan maklumat awal, kebakaran dipercayai berlaku akibat aktiviti memancing yang mungkin melakukan pembakaran di situ.
“Setakat ini 40 hektar daripada 101 hektar tanah gambut terbakar, operasi kita tertumpu kepada tiga kaedah utama iaitu membina saliran dan takungan bagi mengalirkan air untuk meningkatkan paras air supaya ia sama paras dengan tanah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Nor Hisham berkata, seramai 21 anggota bomba dibantu 14 kakitangan industri di Kawasan Perindustrian Gebeng membantu memadam dan mengawal kebakaran termasuk meminjam kemudahannya. – UTUSAN ONLINE











