Tempoh enam bulan ambil alih empat tol - Utusan Malaysia

Tempoh enam bulan ambil alih empat tol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 26 Feb. – Kerajaan menjangkakan pengambilan empat lebuh raya bertol iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart akan mengambil masa enam bulan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tempoh tersebut adalah untuk memenuhi kesemua keperluan pengawalseliaan, kewangan dan undang-undang.

“Apabila pengambilalihan konsesi empat lebuh raya ini dimuktamadkan, kerajaan akan menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dan menggantikannya dengan model baharu iaitu caj kesesakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Caj kesesakan adalah caj boleh ubah yang bergantung kepada masa penggunaan sekali gus menggalakkan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan mereka pada waktu luar puncak dan mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa waktu puncak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut Guan Eng berkata, unjuran awal menganggarkan pengguna empat lebuh raya berkenaan akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun dengan peralihan daripada kutipan tol kepada caj kesesakan.

Katanya, kutipan caj kesesakan itu nanti mencukupi untuk membiayai bayaran balik pinjaman kos pengambilalihan dan semua kos operasi serta penyenggaraan lebuh raya tanpa memerlukan peruntukan tambahan daripada Kementeri Kewangan.

Justeru katanya, cadangan pengambilalihan lebuh raya itu merupakan penyelesaian ‘menang-menang’ untuk semua pihak terlibat.

“Kerajaan dan pembayar cukai akan jimat RM5.3 bilion dalam bentuk pembayaran pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi akibat pembekuan kadar tol.

“Selain itu pengguna lebuh raya akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun dan juga pengurangan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

“Sebarang lebihan kutipan caj kesesakan akan disalurkan kepada pembangunan dan penyelenggaraan sistem pengangkutan awam,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×