Pelajar kolej swasta maut dilanggar di Lebuh Raya Persekutuan - Utusan Malaysia

Pelajar kolej swasta maut dilanggar di Lebuh Raya Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Seorang pelajar sebuah kolej swasta maut selepas dilanggar sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti jenis dan nombor pendaftaran dalam satu kejadian di Kilometer 5.8 Lebuh Raya Persekutuan di sini, awal pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.27 pagi itu, B. Shanggar, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan termasuk kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd. Khairi Shafie berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha FZ150 dalam perjalanan dari Shah Alam menghala ke rumahnya di Taman Desawan, di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum mangsa terjatuh dari motosikalnya.

“Mangsa kemudiannya cuba bangun, namun telah dilanggar oleh sebuah kenderaan yang gagal menggelak mangsa yang berada di tengah lebuh raya berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak sejauh kira-kira 20 meter dari lokasi awal mangsa terjatuh. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.

“Mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya sejurus selesai bedah siasat selesai pukul 12 tengah hari tadi,”ujarnya.

Justeru itu, katanya, saksi kejadian diminta tampil untuk menyalurkan maklumat itu ke balai polis berhampiran atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspekor Mohd. Fadli Ismail di talian 017-2141318.

Kes disisat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×