Guru sekolah agama didakwa lakukan amang seksual - Utusan Malaysia

Guru sekolah agama didakwa lakukan amang seksual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH 26 Feb. – Seorang guru lelaki sebuah sekolah menengah agama di Pulau Sebang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelakinya sejak tahun 2017.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ramzu Zahini Abdul Aziz, 41, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar. 

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa lelaki berusia 13 tahun 5 bulan dengan cara mencium mulut dan pipi pelajar terbabit mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. 

Pertuduhan kedua pula, guru itu didakwa menyebabkan mangsa yang sama melihat rakaman video berunsur lucah dalam telefon bimbit jenis Huawei Nova dan didakwa mengikut Seksyen 15(E) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa dengan sengaja telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap pelajar terbabit dan didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat. 

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh antara pukul 12.01 tengah malam hingga 4 pagi di rumah warden asrama Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al-Asyraf Pulau Sebang pada 1 Januari lalu. 

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi pelajar lelaki berusia 15 tahun dengan cara memeluk badan mangsa dan melakukan perbuatan seksual kira-kira pukul 11.30 malam di tempat sama pada Februari 2017 mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dan memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan. 

Tertuduh menerusi peguamnya, Andrew Lourdes bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya ingin membuktikan bahawa dakwaan tersebut tidak benar selain telah berkhidmat sebagai guru selama 19 tahun. 

Tambahnya, mangsa juga mengalami kecederaan teruk ketika berada di dalam lokap selain perlu menanggung keluarga termasuk ibu yang menghidap sakit saraf. 

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Ahmad Sazali membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi pertuduhan pertama sehingga ketiga dan RM10,000 bagi pertuduhan keempat.

Beliau turut memerintahkan tertuduh tidak mengganggu saksi-saksi terlibat dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sehingga perbicaraan selesai. Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 29 Mac depan untuk serahan laporan perubatan dan sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN