SHAH ALAM – Saksi ke-15, prosiding hari ke-10 inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim memberitahu, keadaan anggota bomba itu sangat kritikal semasa kali pertama beliau berjumpa mangsa.
“Jika dia tidak membuat rawatan menerusi Extracorporeal Membrane Oxygenation (Ecmo), dia sudah tentu meninggal dunia lebih awal,” kata Ketua Unit Rawatan Rapi, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Suneta Sulaiman yang menjawab soalan Pegawai Pengendali, Zhafran Rahim Hamzah dihadapan Koroner Rofiah Mohamad.
Bercerita lanjut keadaan anggota bomba sepanjang 20 hari menerima rawatan di IJN, beliau memberitahu, keadaan Muhammad Adib semakin tenat tiga hari sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
Katanya, semasa dia dirawat pada hari ke-16, Muhammad Adib menunjukkan tanda penat dan pernafasannya semakin laju.
“Ketika itu juga, terdapat karbon dioksida yang sangat tinggi dalam darahnya sementara tekanan darahnya terus rendah,” ujarnya.
Sementara itu, beliau memberitahu, Muhammad Adib sempat meminta telefonnya dengan menulis di papan putih semasa dirawat di IJN.
“Adib membuat isyarat tangan yang membawa maksud “Nak Fon” ujarnya.
Dr. Suneta kemudiannya memberitahu Muhammad Adib bahawa dia boleh mendapatkan telefonnya tetapi meletakkan syarat iaitu untuk tidak melihat internet terlalu banyak kerana ada banyak laporan di internet tentang kejadian yang menimpa dirinya. – K ONLINE!











