Pejabat Menteri Pertahanan buat laporan polis - Utusan Malaysia

Pejabat Menteri Pertahanan buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Pejabat Menteri Pertahanan hari ini membuat satu laporan polis berhubung dua surat palsu berkaitan perolehan kontrak pembekalan perabot dan perkhidmatan bas di kementerian itu.

Pegawai Tugas-Tugas Khas 2 Pejabat Menteri Pertahanan, Rafizal Ali berkata laporan polis itu dibuat bagi mengelak sebarang kesan tidak baik daripada pemalsuan serta penyalahgunaan nama menteri dan kementerian.

Menurutnya, surat pertama bertarikh 9 Disember 2018 daripada sebuah syarikat yang memohon sokongan khas daripada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berhubung pembekalan perabot yang dianggarkan mencecah RM3 juta kepada Angkatan Tentera Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya pada surat tersebut juga tertera tandatangan, cop nama dan nota arahan daripada Mohamad kononnya beliau mengarahkan agar projek pembekalan perabot di Kelantan dan Perak diuruskan hingga selesai.

“Surat kedua pada 17 Januari lalu daripada Bahagian Perbendaharaan dan Audit, Unit Pentadbiran Awam bahagian Tentera Laut yang menawarkan pembekalan perkhidmatan bas dan kenderaan untuk markas angkatan tentera kepada sebuah syarikat. Turut disertakan adalah sijil pelantikan sebagai syarikat pembekal bagi tempoh lima tahun,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju di sini, hari ini. 
 
Menurutnya, setelah meneliti dan mendapatkan maklumat pihaknya mendapati kedua-dua surat itu adalah palsu dan tidak benar.

“Menteri Pertahanan tidak pernah mengeluarkan sebarang sokongan kepada syarikat terbabit. Tandatangan, cop rasmi serta nota arahan seperti tertera pada surat adalah bukan daripada menteri dan Pejabat Menteri,” katanya.

Justeru, pihaknya meminta pihak polis melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Noor Azmi Yusoff ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.  – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×