KUALA LUMPUR 26 Feb. – Nestle Malaysia Bhd. (Nestle) mencatatkan perolehan RM5.5 bilion, iaitu 4.9% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 hasil daripada pertumbuhan kukuh dalam perniagaan domestik dan juga eksport.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle, Juan Aranols berkata, pertumbuhan perolehan serta margin lebih tinggi membolehkan kumpulan mencatatkan keuntungan kasar lebih tinggi sebanyak RM2.14 bilion, iaitu kenaikan ketara 9.6 peratus berbanding RM1.95 bilion pada tahun sebelumnya.
Katanya, keuntungan operasi kumpulan juga meningkat 7.9 peratus daripada RM847 juta kepada RM915 juta.
“Peningkatan ini diperoleh berbekalkan harga bahan mentah lebih rendah dan usaha berterusan kumpulan untuk meningkatkan kecekapan di sepanjang rantaian nilai.
“Kumpulan juga mencatatkan keuntungan satu kali berjumlah RM9.4 juta daripada pelupusan perniagaan Produk Tenusu Dingin. Hasilnya, keuntungan selepas cukai Nestle bagi tahun kewangan semasa meningkat RM16 juta kepada RM659 juta berbanding RM643 juta pada tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE











