Lelaki maut dalam cubaan samun - Utusan Malaysia

Lelaki maut dalam cubaan samun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGKAI – Seorang lelaki maut dalam satu cubaan samun enam lelaki warga Pakistan di sebuah rumah di Taman Orkid di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 2 pagi itu, mangsa, A. Govalan, 31, disahkan maut di lokasi kejadian selepas cuba menyamun dan bergelut dengan enam lelaki tersebut. 

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada pukul 2.45 pagi daripada orang awam selepas dia mendengar pertengkaran di rumah berkenaan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Siasatan awal mendapati salah seorang daripada enam lelaki warga Pakistan itu telah membuat satu laporan polis pada pukul 2.30 pagi menyatakan didatangi tiga lelaki bersama sebilah parang ketika dia berbual bersama-sama lima lagi rakannya. 

“Salah seorang daripada tiga lelaki tersebut mahu menetak mereka namun berjaya ditahan dengan tangan sehingga menyebabkan luka di tangan kiri sebelum berlaku pergelutan antara mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. 

Tambah Wan Azharuddin, mangsa kemudian berjaya ditahan enam lelaki itu sebelum dia tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia. 

“Pemeriksaan pada badan mangsa mendapati dia mengalami lebam di bibir, mata dan kanan kepala serta bengkak di bahagian belakang badan akibat pergelutan tersebut.  

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat,” katanya. 

Katanya, motif kejadian dipercayai berpunca daripada mangsa dan dua lagi rakannya yang telah melarikan diri yang cuba melakukan samun bersejata menggunakan sebilah parang. 

“Enam lelaki Pakistan tersebut ditahan dan mereka kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 4 Mac depan bagi membantu siasatan. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×