MELAKA – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangi bergesel dengan sebuah lori di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Bukit Lintang-Tiang Dua di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa, Muhammad Iskandar Mohd. Rizal Abdul Rasyid, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di pelbagai anggota badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari arah Kandang ke Alai.
“Setiba di tempat kejadian, motosikal ditunggangi mangsa telah bergesel dengan sebuah lori dari arah sama menyebabkannya terjatuh dan terperosok di bawah kenderaan itu sebelum tercampak ke bahu jalan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Afzanizar berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











